Thursday, October 29, 2009

Iman Termasuk Perkataan Dan Perbuatan


Terjemahan : "Dan ia (iman) termasuklah perkataan dan perbuatan, dan boleh bertambah dan berkurang."


Dalam satu riwayat al-Kushmihani, beliau mencatatkan ayat di atas tanpa perkataan "wa huwa".


Di sini terdapat dua perbahasan. Yang pertama adalah iman itu termasuk perkataan dan perbuatan. Yang kedua ialah iman itu sifatnya bertambah dan berkurang.


Bagi perbahasan pertama, adapun yang dimaksudkan dengan perkataan itu ialah ucapan dua kalimah syahadah. Sementara yang dimaksudkan dengan amalan itu ialah amalan yang sifatnya lebih umum, merangkumi amalan hati dan anggota, termasuklah iktikad atau kepercayaan dan juga amal ibadah.


Siapakah golongan yang termasuk dalam takrif iman atau yang terkeluar daripadanya berdasarkan dari segi pandangan Allah?

Maka, golongan salaf berpandangan bahawa iman itu ialah beriktikad dalam hati, menyebut dengan lidah dan beramal dengan rukun-rukunnya. Apa yang dimaksudkan di sini ialah amalan-amalan tersebut hanyalah sebagai syarat bagi kesempurnaan iman. Dari sinilah timbulnya pendapat tentang iman boleh bertambah dan berkurang berdasarkan amalan seseorang.

Sementara itu, golongan al-Murjiah berpandangan iman ialah iktikad di dalam hati dan menyebut dengan lisan sahaja. Dengan kata lain, iman tidak melibatkan amalan.

Terdapat pula golongan al-Karamiah yang menyatakan bahawa iman itu hanya melibatkan proses melafazkan dengan lidah sahaja, tanpa perlu membenarkan dengan hati mahupun amalan.

Bagi golongan Muktazilah pula, mereka berpendapat bahawa iman itu melibatkan amalan, kata-kata dan iktikad. Perbezaan antara mereka dan golongan salaf ialah mereka menjadikan amalan sebagai syarat untuk mengesahkan keimanan seseorang, sedangkan golongan salaf menyatakan bahawa amalan itu hanyalah syarat bagi kesempurnaan iman seseorang.

Perbahasan di atas adalah dari segi pandangan Allah.

Dari segi pandangan kita sebagai manusia, maka iman itu adalah dengan berikrar dengan lidah semata-mata. Sesiapa sahaja yang sudah berikrar dengan kalimah syahadah, maka di atas dunia ini akan dihukumkan ke atasnya sebagai seorang Islam dan tidak akan dihukumkan sebagai orang kafir, melainkan sekiranya dia melakukan perbuatan yang jelas menunjukkan kepada kekufurannya seperti dia menyembah berhala.

Sekiranya seseorang yang sudah mengucap dua kalimah syahadah melakukan perbuatan yang tidak membawa kepada kekufuran seperti perbuatan fasiq, maka terdapat beberapa pendapat dalam hal ini.

Antaranya terdapat golongan yang menyatakan bahawa dia masih dianggap beriman. Golongan ini menyandarkan pendapat mereka kepada ikrar kalimah syahadah yang telah diucapkan oleh orang tersebut.

Bagi golongan yang menafikan keimanannya, mereka memandang kepada kesempurnaan imannya. Dengan kata lain, dia dianggap belum sempurna keimanannya kepada Allah.

Terdapat golongan yang menghukumkannya sebagai kafir berdasarkan kepada perlakuannya yang telah melakukan perlakuan golongan kafir. Dalam hal ini, wujud segolongan yang digelar sebagai golongan Muktazilah pertengahan (wasatiyyah) telah berkata : Golongan fasiq tidak dianggap sebagai mukmin dan tidak juga dianggap sebagai kafir. Mereka berada dalam kategori khas, bukannya golongan mukmin dan bukan golongan kafir.

No comments: