Friday, July 2, 2010

Kitab al-Iman, Du'aukum Imanukum

Doa Ialah Iman

Dalam tajuk bab ini, Imam al-Bukhari menyatakan bahawa : Doa kamu semua adalah sebahagian dari iman kamu semua. Berdasarkan kenyataan di atas, jelas menunjukkan bahawa Imam al-Bukhari mengaitkan perbuatan berdoa dengan iman.

Menurut al-Bukhari, maksud do'a dari segi bahasa ialah iman (percaya). Perbuatan berdoa berkait rapat dengan kepercayaan kita. Sekiranya kita yakin bahawa hanya Allah yang mampu mengabulkan doa kita, doa kita ditujukan hanyalah kepada Allah yang maha berkuasa untuk memakbulkan, dan bukan kepada makhluk lain yang tidak berkuasa.



Beliau memberikan maksud doa dari segi bahasa berdasarkan penggunaannya dalam ayat 77 surah al-Furqan yang bermaksud : Katakanlah wahai Muhammad, Tuhanku tidak akan mengambil berat tentang kamu, kalaulah tidak kerana iman kamu (du'aukum).
 
Dalam ayat di atas, lafaz du'aukum ditafsirkan sebagai iman menurut pendapat al-Bukhari. Pendapat ini juga boleh dilihat dalam tafsir Ibn Kathir menurut riwayat Ibn 'Abbas. Justeru, maksud ayat di atas ialah : Allah tidak akan mengambil peduli tentang keadaan orang musyrikin sehinggalah mereka beriman dengan Allah.
 
Lafaz du'aukum dalam ayat di atas turut ditafsirkan dengan maksud ibadah dan ketaatan. Hujah ini boleh dilihat dalam Tafsir al-Tabari.

No comments: