Thursday, July 7, 2011

Kitab al-Iman, Bab Bersabda Nabi SAW : Islam Dibina Atas 5 Perkara

Imam al-Bukhari telah memulakan bab ini dengan lafaz basmalah, diikuti oleh tajuk kitab iaitu Kitab al-Iman.


Iman dari segi bahasa bermaksud al-tasdiq iaitu membenarkan. Dari segi syarak ialah membenarkan oleh rasul apa-apa sahaja yang dibawa dari Tuhannya, iaitu Allah.


Terdapat juga pendapat yang menyatakan perkataan iman itu diambil dari perkataan al-amnu iaitu keamanan. Namun, pendapat ini memerlukan kepada lebih perbahasan, iaitu tentang perkaitan antara perkataan al-amnu iaitu keamanan dan al-tasdiq iaitu membenarkan.


Berlaku juga perbezaan riwayat ketika menulis perkataan basmalah, iaitu antara mendahulukan basmalah dan diikuti oleh perkataan "Kitab al-Iman" ataupun melewatkan penulisan perkataan basmalah dan didahului sebelumnya dengan perkataan "Kitab al-Iman".


Riwayat yang pertama adalah lebih jelas, iaitu mendahulukan penulisan lafaz basmalah dan diikuti oleh lafaz "Kitab al-Iman".
Adapun menurut riwayat yang kedua, ia seolah-olah menjadikan tajuk kitab seumpama nama surah di dalam al-Quran, dan hadith yang didatangkan selepas bacaan basmalah adalah seperti ayat al-Quran yang didahului dengan basmalah.

Dalam satu riwayat daripada riwayat al-Asili, lafaz "bab" telah ditiadakan berbanding dengan lafaz yang ada di atas.
Hadith yang dinyatakan pada tajuk bab, yang bermaksud "Islam dibina atas 5 perkara" adalah hadith yang sebenarnya bersambungan sanadnya sehingga kepada Rasulullah SAW walaupun tidak dinyatakan secara penuh sanadnya. Imam al-Bukhari hanya menulis permulaan hadith, iaitu apa yang dipanggil sebagai "Atraf al-Hadith", tanpa menulis sepenuhnya matan hadith, bertujuan untuk memberikan nama kepada bab ini. Dengan kata lain, hadith ini asalnya ialah hadith yang panjang. Meskipun lafaz hadith hanya ditulis permulaanya sahaja, namun hakikatnya ia membawa maksud keseluruhan matan hadith yang telah disabdakan oleh baginda Rasulullah SAW.

No comments: