Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga membeli buku yang sekian lama dicari selepas pelancarannya tahun lepas. Buku yang menghimpunkan beberapa makalah yang bermutu berkaitan pemikiran Tan Sri Syed Naquib al-Attas, terutamanya sumbangannya dalam bidang falsafah ilmu di negara kita. Terdapat banyak makalah bermutu yang dimuatkan di dalam buku yang setebal 722 mukasurat ini. Apa yang menarik perhatian saya ialah terdapatnya beberapa makalah yang turut membincangkan tentang falsafah linguistik Melayu dan pensejarahan Islam di Alam Melayu....
Masih sedang berusaha menghabiskan bacaannya...
Berikut dikongsikan penerangan ringkas dari buku tersebut tentang tulisan khat "Basmalah" berbentuk ayam jantan hasil ilham Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas (ms 366):
Ayam jantan unggas dinihari.
Nadanya nyaring menyambut ketibaan hari.
Dia simbol bagi matahari.
Hari diibaratkan bermata sebab jisim bersinar yang menzahirkannya seperti mata memancarkan cahaya membawa cerah mengusir gelap menjadikan kelihatan kepada yang berpenglihatan kedudukan segala yang tadinya terbuni dalam kelam.
Mata itu alat jasmani pemancar cahaya ruhani yang menerbitkan penglihatan kepada diri insani. Oleh itu berlakunya rangkaian batin yang mengakibatkan penglihatan sesungguhnya adalah suatu gerakdaya ruhani yang menimbulkan kefahaman kepada akal. Maka dari itulah matahari merupakan simbol nur akali dan ruhani.
Berdasarkan huraian ini menjadi jelas bahawa Ayam Jantan juga simbol bagi keadaan sedar celik dan jaga waspada serta giat berusaha mahupun ke arah perkara ruhani mencari rasa dan ma'na diri dengan maksud mencapai irfan.
1 comment:
Post a Comment